Mari hayati erti korban sebenar.. Tingkatkan pengorbanan, suburkan keikhlasan..
Rentetan daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya, amalan ibadah korban telah menjadi sebahagian daripada syariat Allah s.w.t. yang dituntut terhadap umat Islam untuk melaksanakannya. Nabi s.a.w. menjelaskan lagi syariat tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:
Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata:
Suatu hari sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya:
"Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?''
Jawab Rasulullah:
"Ia adalah sunah bapa kamu, Ibrahim.''
Mereka berkata:
"Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?''
Rasulullah menjawab:
"Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.''
Mereka berkata:
"Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?''
Rasulullah s.a.w. menjawab:
"Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.''
(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)
Terdapat dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar untuk renungan kita bersama. Pertama, pengorbanan seorang ayah yang begitu lama menantikan seorang anak, kemudian apabila sudah memilikinya terpaksa pula mengorbankan perasaan cinta dan kasih tersebut, demi kepatuhan dan keredhaannya terhadap perintah Allah Taala.
Kedua, ketaatan dan keyakinan penuh Nabi Ismail terhadap pengorbanan yang dituntut oleh ayahnya untuk dilakukan. Sebagai seorang anak, baginda sanggup pula mengorbankan kasihnya kepada ibu dan ayahnya dan zaman keseronokan remajanya, malah ke tahap sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah s.w.t. dan perintah seorang ayah.
Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah s.w.t. yang tidak berbelah bahagi.
Dalam kes di atas, logik naluri kita akan bertanya, mengapa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sanggup mengorbankan cinta dan kasih sayang mereka demi perintah Allah Taala? Bukankah Nabi Ibrahim sudah lama mengidamkan seorang anak? Mengapa setelah dikurniakan anak, diperintahkan pula supaya menyembelihnya? Dalam keadaan itu, tentu baginda berdua boleh berdalih dengan pelbagai alasan. Tetapi mereka tidak berbuat begitu, kerana cinta mereka kepada Allah s.w.t. mengatasi cinta kepada makhluk.
Sambutan Aidiladha bukan sekadar mengorbankan binatang korban semata (Gambar Hiasan)
Sesungguhnya seandainya seorang Muslim itu apabila mereka mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud:
Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah s.w.t. iaitu
1. imam yang adil.
2. pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah.
3. lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.
4. dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah.
5. lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: "Sesungguhnya aku takutkan Allah'’.
6. lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan
7. lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian. (Riwayat Muslim)
Sehubungan itu, Islam menjelaskan bahawa cinta seseorang hamba kepada Allah s.w.t. itu haruslah berlandaskan kepada ittiba' (ikutan) dan ketaatan sebagai bukti kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. seperti mana yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam cerita tersebut. Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Ali Imran:31)
Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah Taala merupakan sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah Taala dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka untuk Tuhannya tanpa ragu-ragu. Baginda mengetahui bahawa meletakkan cinta Allah pada tempatnya adalah satu kedudukan cinta yang tinggi yang hanya akan lahir bagi orang yang sudah cukup kenal akan Allah Taala.
Menurut Imam al-Ghazali bahawa ma'rifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta sebab, cinta tanpa ma'rifah tidak mungkin berlaku. Ini kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya sahaja. Pepatah Melayu ada menyebut, `Tak kenal maka tak cinta'. Ia seolah-olah membenarkan pendapat Imam Ghazali tersebut.
Oleh itu, Muslim yang benar-benar kenal akan Allah Taala sanggup menggadaikan harta dan wang ringgit. Mereka juga sanggup mengorbankan kasih mereka terhadap anak-anak dan keluarga sendiri, malah nyawa sekalipun semata-mata kerana mendahului cinta Allah s.w.t. Apabila cinta Allah Taala sudah memenuhi hatinya, maka barulah datang cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan makhluk-makhluk-Nya yang lain. Itulah kedudukan cinta yang betul yang menerbitkan kemanisan iman yang tiada taranya.
Oleh:AzmanAhmad
Tuesday, November 16, 2010
|Falsafah Korban: Cinta Allah Mengatasi Cinta Makhluk | Salam AidilAdha 1431H
Labels:
Hari Raya,
Rahmatullah,
SYUKUR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban dengan kemas dan sempurna supaya kita memahami pengajaran di sebalik peristiwa agung tersebut. Falsafah daripada pensyariatan ibadat ini nanti akan mengekalkan ingatan kita kepada lambang cinta agung Nabi Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail demi cinta dan taqarrub mereka kepada Allah s.w.t.
Firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah : 186)
sesungguhnya hati ingin mencintai dan mengorbankan apa saja, tapi tersangkut kadang2 dgn duniawi ini..
selamat hari raya korban.
maksu dah buat tag, http://ceritakosong.blogspot.com/2010/11/terima-award-interesting-blog.html
Post a Comment